logo HARUN YAHYA

Ar-Rahmaan - AL-QURAN - Harun Yahya

  • 1. (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
  • 2. Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
  • 3. Dia lah yang telah menciptakan manusia; -
  • 4. Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.
  • 5. Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;
  • 6. Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya.
  • 7. Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,
  • 8. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;
  • 9. Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.
  • 10. Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain:
  • 11. Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang;
  • 12. Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum;
  • 13. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?
  • 14. Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,
  • 15. Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;
  • 16. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 17. (Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.
  • 18. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 19. Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;
  • 20. Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;
  • 21. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 22. Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;
  • 23. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 24. Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;
  • 25. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 26. Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:
  • 27. Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:
  • 28. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 29. Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!
  • 30. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)?
  • 31. Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!
  • 32. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 33. Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!
  • 34. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 35. Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);
  • 36. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 37. Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;
  • 38. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 39. Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);
  • 40. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 41. Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);
  • 42. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 43. (Lalu dikatakan kepada mereka): "Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya ".
  • 44. Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!
  • 45. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 46. Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga, -
  • 47. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 48. (Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; -
  • 49. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 50. Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir; -
  • 51. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan.
  • 52. Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).
  • 53. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 54. Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya - dari sutera tebal yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.
  • 55. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 56. Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;
  • 57. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 58. Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.
  • 59. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 60. Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?
  • 61. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 62. Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua);
  • 63. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 64. Kedua-duanya menghijau subur tanamannya;
  • 65. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 66. Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya:
  • 67. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 68. Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,
  • 69. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 70. Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;
  • 71. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 72. Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing;
  • 73. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 74. (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;
  • 75. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 76. Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.
  • 77. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
  • 78. Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
KONGSI
Facebook
X
WhatsApp
Telegram
QR Code
QR Code