logo HARUN YAHYA

'Abasa - AL-QURAN - Harun Yahya

  • 1. Ia memasamkan muka dan berpaling,
  • 2. Kerana ia didatangi orang buta.
  • 3. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)! -
  • 4. Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.
  • 5. Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran),
  • 6. Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya.
  • 7. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).
  • 8. Adapun orang yang segera datang kepadamu,
  • 9. Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), -
  • 10. Maka engkau berlengah-lengah melayaninya.
  • 11. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).
  • 12. Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.
  • 13. (Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, -
  • 14. Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan), -
  • 15. (Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz;
  • 16. (Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.
  • 17. Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?
  • 18. (Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? -
  • 19. Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab;
  • 20. Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih);
  • 21. Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;
  • 22. Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).
  • 23. Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya.
  • 24. (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya):
  • 25. Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.
  • 26. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, -
  • 27. Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,
  • 28. Dan buah anggur serta sayur-sayuran,
  • 29. Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma,
  • 30. Dan taman-taman yang menghijau subur,
  • 31. Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, -
  • 32. Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.
  • 33. Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat, -
  • 34. Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,
  • 35. Dan ibunya serta bapanya,
  • 36. Dan isterinya serta anak-anaknya; -
  • 37. Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.
  • 38. Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,
  • 39. Tertawa, lagi bersuka ria;
  • 40. Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,
  • 41. Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. -
  • 42. Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.
KONGSI
Facebook
X
WhatsApp
Telegram
QR Code
QR Code