• 1. Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi?

  • 2. Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina,

  • 3. Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah,

  • 4. Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar), -

  • 5. Mereka diberi minum dari matair yang menggelegak panasnya.

  • 6. Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri,

  • 7. Yang tidak menggemokkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.

  • 8. (Sebaliknya) muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,

  • 9. Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia), -

  • 10. (Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya),

  • 11. Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia,

  • 12. Di dalam Syurga itu ada matair yang mengalir,

  • 13. Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya),

  • 14. Dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka),

  • 15. Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar),

  • 16. Serta hamparan-hamparan yang terbentang.

  • 17. (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?

  • 18. Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.?

  • 19. Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?

  • 20. Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

  • 21. Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan;

  • 22. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).

  • 23. Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar, -

  • 24. Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.

  • 25. Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,

  • 26. Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.