logo HARUN YAHYA

An-Naba' - AL-QURAN - Harun Yahya

  • 1. Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
  • 2. Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).
  • 3. Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.
  • 4. Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).
  • 5. Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).
  • 6. (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
  • 7. Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?
  • 8. Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
  • 9. Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?
  • 10. Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?
  • 11. Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?
  • 12. Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?
  • 13. Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?
  • 14. Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, -
  • 15. Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, -
  • 16. Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
  • 17. Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,
  • 18. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);
  • 19. Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas,
  • 20. Dan gunung-ganang - setelah dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.
  • 21. Sesungguhnya neraka Jahannam adalah disediakan -
  • 22. Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.
  • 23. Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.
  • 24. Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman -
  • 25. Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, -
  • 26. Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).
  • 27. Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,
  • 28. Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;
  • 29. Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.
  • 30. (Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu".
  • 31. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.
  • 32. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
  • 33. Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;
  • 34. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;
  • 35. Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;
  • 36. Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),
  • 37. Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
  • 38. (Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.
  • 39. Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!
  • 40. Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)".
KONGSI
Facebook
X
WhatsApp
Telegram
QR Code
QR Code