• 1. Apabila langit terbelah;

  • 2. Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;

  • 3. Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;

  • 4. Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, -

  • 5. (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.

  • 6. Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? -

  • 7. Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;

  • 8. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.

  • 9. Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.

  • 10. Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,

  • 11. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);

  • 12. Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

  • 13. (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) - kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;

  • 14. Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.

  • 15. Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,

  • 16. Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.

  • 17. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

  • 18. Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

  • 19. (Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.